Monday, March 23, 2015

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

SEBELAS ANJAKAN UTAMA UNTUK MENTRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Dalam tempoh 15 bulan, Kementerian telah mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan, iaitu pendidik, ahli akademik, ibu bapa, dan murid tentang keperluan untuk menjayakan aspirasi sistem pendidikan negara. Berdasarkan input yang diperoleh, wujud kesepakatan yang tinggi tentang beberapa topik, antaranya kepentingan meningkatkan kualiti guru. Manakala terdapat juga topik seperti masa depan pendidikan bahasa yang mendapat maklum balas yang berbeza-beza. Kementerian telah meneliti semua cadangan dan menggabungkannya dalam Pelan ini berdasarkan empat kriteria utama. Pertama, setiap tindakan yang diambil perlu menyumbang kepada aspirasi sistem dan murid seperti yang telah dinyatakan. Sekiranya inisiatif yang dikemukakan menghasilkan kesan yang negatif terhadap inisiatif yang lain atau menghasilkan aspirasi yang lain, maka inisiatif tersebut tidak akan diberi keutamaan. Kedua, Kementerian menggunakan bukti antarabangsa bagi mengenal pasti dan memberi keutamaan kepada faktor yang dapat membawa perbezaan ketara dalam penambahbaikan sistem dan murid. Ketiga, cadangan perlu relevan dengan tahap permulaan sistem dan kemampuan Kementerian untuk melaksanakannya. Oleh itu, inisiatif disusun secara berurutan untuk mempengaruhi perkembangan dalam kompleksiti selaras dengan perkembangan kapasiti dan keupayaan pegawai Kementerian, guru, dan pemimpin sekolah. Keempat, faedah pelaksanaan cadangan perlu memberi pulangan yang lebih besar berbanding dengan kekangan perbelanjaan dan operasi. Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Kualiti menjadi fokus utama merentasi semua anjakan kerana kualiti merupakan dimensi penting yang perlu diberikan perhatian segera. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan. Anjakan yang lain merupakan perubahan pelaksanaan dalam cara Kementerian dan sekolah melaksanakan dasar sedia ada. Sama ada perubahan bersifat strategi atau pelaksanaan, semuanya menggambarkan anjakan daripada amalan semasa. Secara keseluruhan, anjakan yang dirancang mengambil kira setiap pihak berkepentingan dan permasalahan utama yang ditimbulkan masyarakat awam. Kementerian berharap keterangkuman ini akan menyediakan satu asas tumpuan yang boleh diterima oleh semua warganegara Malaysia. Seksyen seterusnya merumuskan setiap anjakan dan menyediakan contoh perubahan besar menerusi inisiatif yang dilancarkan. 

No comments:

Post a Comment