
Monday, March 23, 2015
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
SEBELAS ANJAKAN UTAMA UNTUK MENTRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
SEBELAS ANJAKAN UTAMA UNTUK MENTRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Dalam tempoh 15 bulan, Kementerian telah mendapatkan
input daripada pelbagai pihak berkepentingan, iaitu
pendidik, ahli akademik, ibu bapa, dan murid tentang
keperluan untuk menjayakan aspirasi sistem pendidikan
negara. Berdasarkan input yang diperoleh, wujud
kesepakatan yang tinggi tentang beberapa topik, antaranya
kepentingan meningkatkan kualiti guru. Manakala terdapat
juga topik seperti masa depan pendidikan bahasa yang
mendapat maklum balas yang berbeza-beza.
Kementerian telah meneliti semua cadangan dan
menggabungkannya dalam Pelan ini berdasarkan empat
kriteria utama. Pertama, setiap tindakan yang diambil
perlu menyumbang kepada aspirasi sistem dan murid
seperti yang telah dinyatakan. Sekiranya inisiatif yang
dikemukakan menghasilkan kesan yang negatif terhadap
inisiatif yang lain atau menghasilkan aspirasi yang lain,
maka inisiatif tersebut tidak akan diberi keutamaan. Kedua,
Kementerian menggunakan bukti antarabangsa bagi
mengenal pasti dan memberi keutamaan kepada faktor yang
dapat membawa perbezaan ketara dalam penambahbaikan
sistem dan murid. Ketiga, cadangan perlu relevan dengan
tahap permulaan sistem dan kemampuan Kementerian
untuk melaksanakannya. Oleh itu, inisiatif disusun secara
berurutan untuk mempengaruhi perkembangan dalam
kompleksiti selaras dengan perkembangan kapasiti dan
keupayaan pegawai Kementerian, guru, dan pemimpin
sekolah. Keempat, faedah pelaksanaan cadangan perlu
memberi pulangan yang lebih besar berbanding dengan
kekangan perbelanjaan dan operasi.
Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu
dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan
oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberi
impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima
keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan,
dan kecekapan. Kualiti menjadi fokus utama merentasi
semua anjakan kerana kualiti merupakan dimensi penting
yang perlu diberikan perhatian segera. Sebahagian daripada
anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju
pendidikan. Anjakan yang lain merupakan perubahan
pelaksanaan dalam cara Kementerian dan sekolah
melaksanakan dasar sedia ada. Sama ada perubahan bersifat
strategi atau pelaksanaan, semuanya menggambarkan
anjakan daripada amalan semasa.
Secara keseluruhan, anjakan yang dirancang mengambil
kira setiap pihak berkepentingan dan permasalahan utama
yang ditimbulkan masyarakat awam. Kementerian berharap
keterangkuman ini akan menyediakan satu asas tumpuan
yang boleh diterima oleh semua warganegara Malaysia.
Seksyen seterusnya merumuskan setiap anjakan dan
menyediakan contoh perubahan besar menerusi inisiatif yang
dilancarkan.
Subscribe to:
Comments (Atom)
